Teman,
Jadilah kehidupan kita di bumi sementara ini berpandukan
nur iman dan Islam bukannya berdasarkan nafsu yang
sentiasa inginkan kebebasan dan keseronokan yang tidak
berkesudahan. Seorang ulama' telah mengukirkan
ungkapan indah bagaimana Allah mencipta malaikat
dengan diberikan kepada mereka akal tanpa nafsu,
binatang pula dianugerahi nafsu tanpa akal manakala
manusia diberikan keduanya sekali iaitu akal dan nafsu.
Sesiapa yang mampu mengawal nafsunya dengan akal
yang berpandukan syariat Ilahi maka dia lebih baik
daripada malaikat tetapi jika dia tewas dengan pujukan
nafsunya maka dia lebih hina daripada binatang. Kita juga
pernah mendengar kisah bagaimana seorang 'abid di
zaman silam apabila terdetik sahaja kehendak nafsunya
yang inginkan keseronokan maka dia akan berguling di
atas padang pasir yang panas sambil mengatakan kepada
dirinya sendiri adakah tubuhnya akan dapat menahan
daripada azab neraka yang lebih panas daripada itu.
Seorang yang lain pula menangis sehingga hilang
penglihatannya kerana menyesal dengan dosa yang
dilakukan. Tidak ketinggalan dicoretkan bagaimana
seorang hamba yang bertaqwa tetapi pada suatu hari
seolah-olah kehilangan kuasa untuk mengawal kehendak
nafsunya dan cuba melakukan zina dengan seorang
pelacur yang dilihatnya tetapi sebelum terlanjur ke arah
kemunkaran dia tersebut nama Allah lalu dia jatuh dan
menggelempar serta menghembuskan nafas terakhir di situ
juga kerana begitu ketakutan dengan apa yang cuba
dilakukan.Bagaimana pula dengan diri kita wahai teman?
Godaan dan cubaan berada di sekitar kita. Adakah kita
telah cuba sedaya yang mungkin di dalam menghindarinya
ataupun kita sendiri dihanyutkan oleh keadaan sekeliling?
Jagalah pancaindera kita daripada kemungkaran yang
melata. Ingatlah pesanan Rasulullah S.A.W sebagaimana
yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Hamba yang baik
ialah mereka yang beragama dan menyediakan
bekalan amalan selepas mati. Manakala orang
sombong adalah mereka yang mengikut kehendak
nafsu dan mengharapkan belas kasihan Allah
semata-mata.
Teman,
Bagaimana pula dengan ibadat seharian kita wahai
teman?. Adakah kita merasakan ia sudah banyak dan
mencukupi sedangkan kita pernah membaca kisah
mengenai seorang lelaki dari Bani Israel telah beribadat
kepada Allah selama 70 tahun. Allah telah mengutuskan
malaikat kepadanya dan menyatakan bahawa ibadatnya
yang begitu banyak tidak mampu menjamin dia untuk
merasai nikmat Syurga Allah. Lalu dia menyatakan
bahawa dia beribadat kerana dia dijadikan untuk
beribadat bukannya mengharapkan balasan. Apabila
malaikat memberitahu kepada Allah tentang jawapan yang
telah diberikan maka Allah menyatakan bahawa Dia telah
mengampuni segala dosa-dosa lelaki itu. Rabi'ah
'Adawiyah salah seorang daripada waliullah telah
menyatakan bahawa ibadat yang ditunaikan bukan kerana
takut azab Allah dan mengharapkan syurga Allah tetapi
dilakukan kerana taat dan patuh pada perintahNya.
Sayyidina Ali mengatakan sesiapa yang menganggap dia
akan mencapai sesuatu tanpa kesungguhan maka dia
sebenarnya berangan-angan tetapi sesiapa yang
bercita-cita untuk mendapat sesuatu bersama dengan
usaha yang bersunguh-sungguh dia akan mencapainya.
Sayyidina Hassan juga pernah mengingatkan bahawa
mengharapkan Syurga tanpa amalan merupakan satu dosa
daripada dosa-dosa yang lain.
Teman,
Imam al-Ghazali pernah menasihati kita bahawa ilmu
tanpa amal gila dan amal tanpa ilmu sia-sia.Ketahuilah
bahawa ilmu tidak mampu menjauhkan diri kita hari ini
daripada maksiat dan tidak akan mendorong kepada taat
serta tidak menjauhkan diri kita daripada azab neraka.
Jika kita tidak beramal hari ini maka kita tidak akan dapat
kembali untuk beramal pada hari yang telah berlalu pergi.
Permintaan kita untuk kembali ke dunia setelah berlakunya
qiamat tidak akan diterima malah kita akan diherdik
dengan kata-kata pedas : Wahai orang yang bongkak!
Mengapa kamu datang dari sana tanpa bekalan?.
Rasulullah beristighfar lebih 70 kali sehari dan sentiasa
mengamalkan salam kepada para sahabat sehingga para
sahabat merasa malu kerana setiap kali berjumpa maka
Rasulullah S.A.W yang merupakan orang pertama yang
memberi salam bukannya mereka. Bagaimana dengan kita
wahai teman? Hayatilah hadis Rasulullah yang
diriwayatkan oleh imam Tarmizi : Hitunglah diri kamu
sebelum kamu dihitung dan timbanglah amalan kamu
sebelum ia ditimbang oelh Allah kelak.
Teman,
Renungilah kata-kata imam al-Ghazali bahawa jika
kita membaca kitab seratus tahun dan mengumpul seribu
kitab, ia tidak menjadikan diri kita bersedia untuk
mendapat rahmat Allah melainkan dengan amalan.
Sekalipun seseorang hamba memasuki Syurga dengan
kelebihan dan kasih sayang daripada Allah tetapi ia dapat
dicapai selepas dia menunaikan segala ketaatan dan ibadat
kerana rahmat Allah hampir dengan orang yang sentiasa
mengerjakan amalan yang baik dan soleh. Renunglah
dirimu wahai teman!
Tuesday, February 24, 2009
RENUNGILAH DIRI...
Posted by Rubiatul Adawiyah Mat Jusoh at 7:44 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment